fbpx

Hasrat Koperal Azmi bertemu rakan tercapai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noorzainy ketika melawat Koperal Azmi di Taman Bertam Perdana, Kepala Batas hari ini.

SEBERANG PERAI – Hasrat seorang anggota polis yang menghidap barah rahang untuk bertemu dengan bekas rakan setugas tercapai selepas menerima kunjungan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di kediamannya di Taman Bertam Perdana, Kepala Batas di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor meluangkan masa kira-kira 30 minit menziarahi Koperal Azmi Kamarudin, 34, selain turut menyampaikan sumbangan lampin pakai buang beserta barangan keperluan lain.

Beliau berkata, Azmi adalah bekas anggota yang pernah bertugas di Bahagian Stor Barang Kes Berpusat di Kepala Batas sebelum bertukar ke Bahagian Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Katanya, hasrat Azmi untuk bertemu dengan rakan-rakannya tular dalam media sosial semalam dan pihaknya tampil memenuhi permintaannya di samping menghulurkan bantuan yang diperlukan.

“Keluarganya juga ada menyatakan keinginan untuk membawa Azmi pulang ke kampung kelahirannya di Betong, Seri Aman di Sarawak.

“Walau bagaimanapun, saya meminta isterinya mendapatkan laporan perubatan dan nasihat doktor terlebih dahulu.

“Sekiranya Azmi berada dalam keadaan stabil dan boleh diterbangkan, saya akan bertemu dengan Ketua Polis, Datuk Sahabudin Abdul Manan untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Isteri Azmi, Korporal Noor Ifa Md. Sukari, 36, berkata penyakit suaminya mulai dikesan sejak tiga tahun lalu.

“Sebelum ini, dia menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Walau bagaimanapun, kesihatannya semakin merosot sejak Jumaat lalu dan selepas menerima rawatan di Hospital Kepala Batas (HKB), kami sekeluarga memilih untuk membawanya pulang.

“Saya bergilir-gilir menjaganya bersama ibu dan bapa mentua yang tiba dari Sarawak sejak 26 Disember lalu,” katanya yang bertugas di IPD SPU. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI