KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari memberitahu penghantaran pulang 127 rakyat Palestin termasuk 41 individu cedera yang dibawa ke Malaysia sebelum ini bagi menerima rawatan, akan dihantar pulang selepas keadaan di Gaza diyakini selamat.
Katanya, bagaimanapun, proses tersebut mengambil sedikit masa disebabkan perlu melibatkan dua negara.
“Rakyat Palestin itu juga keutamaan kita. Proses ini (penghantaran pulang) memang mengambil sedikit masa kerana harus berhubung juga dengan pihak kerajaan Mesir kerana kita tahu bahawa proses pengambilan itu melalui dua kerajaan.
“Kalau keadaan itu (di Gaza) selamat dan mereka boleh pulang,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Khidmat Negara 3.0 Siri 1/2025 di sini, hari ini.
Menurut Adly, Kementerian Pertahanan (Mindef) bekerjasama dengan beberapa jabatan termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi kelancaran proses penghantaran pulang rakyat Palestin.
“Kita akan terus bekerjasama dengan beberapa pihak sama ada di peringkat agensi, kerajaan, kementerian mahupun dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) juga,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara berkaitan penghantaran pulang rakyat Palestin telah dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet baru-baru ini dan sedang diuruskan Kementerian Luar bersama Mindef.
Pada 16 Ogos lalu, Malaysia membawa 127 warga Palestin termasuk 41 pesakit yang cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza untuk rawatan serta dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini manakala saudara-mara lain ditempatkan di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL). – KOSMO! ONLINE