KUALA LUMPUR – Sejak berhijrah dan memilih bertudung, pelakon Nora Danish mengambil keputusan menderma semua pakaian lama yang mendedahkan aurat kepada rakan-rakan bukan Islam.
Ujar Nora atau nama lengkap Nora Mohd Danish Hanif, 42, dia hanya memberikan pakaian tersebut secara percuma dan enggan menjual kerana bimbang menanggung dosa individu yang membelinya.
“Pakaian zaman saya seksi dulu semuanya sudah diberikan kepada rakan-rakan bukan Islam secara percuma je.
“Sebab kalau saya nak jual pakaian itu tidak boleh, ibaratnya saya akan tanggung dosa mereka yang akan membelinya. Lama dah saya ‘let go’ semua pakaian itu, dah tak simpan lagi,” katanya kepada Kosmo! Online.
Bintang filem Sayu Yang Syukur itu juga mengakui dirinya kini dalam proses memadam gambar-gambar lama yang tidak menutup aurat dalam Instagram.
“Saya kena buang semua gambar tidak menutup aurat, tetapi mengambil masa sebab jumlahnya lebih 26,000 keping.
“Baru beberapa ribu dipadam, masih banyak lagi. Saya kena belek satu persatu. Bila tengok gambar lama, saya cakap dalam hati, ‘apa lah aku buat dulu’.
“Namun itu merupakan proses kehidupan. Kalau tidak lalui fasa-fasa itu, mungkin tidak rasa menyesal seperti sekarang,” ujarnya pada majlis pertunjukan fesyen koleksi jenama Amber bertemakan ‘Raya Romantics’, di sini, semalam.
Bercakap tentang istiqamah, ibu dua anak itu berdoa agar kekal berada di jalan yang benar dan terus berpegang teguh pada perubahan dirinya.
“Berhijrah itu mudah, tapi istiqamah sangat mencabar. Bukan sekadar pakaian, tapi juga menjaga solat awal waktu dan aspek lain.
“Saya selalu berdoa agar Allah kekalkan rasa sedih dan rasa berdosa dalam diri supaya sentiasa beringat.
“Kalau tanya petua istiqamah, saya sendiri tiada jawapan. Cuma sentiasa berdoa agar dikelilingi orang baik yang mengingatkan saya,” luahnya.
Terdahulu, sebelum mengambil keputusan berhijab, Nora kerap menghadiri majlis ilmu bersama rakan selebriti.
Selepas bercerai dengan bekas suaminya, Nedim Nazri sekitar Jun tahun lalu, keinginan untuk lebih mendekati agama semakin kuat.
Sejak itu, dia aktif menghadiri kuliah dan ceramah agama bagi menambah ilmu serta memperbaiki diri. – KOSMO! ONLINE