KANGAR – Polis sedang giat mengesan seorang lelaki yang dipercayai menetak leher bapanya dalam kejadian di Kampung Padang Besar Selatan, di sini malam ini.
Menurut sumber, laporan berhubung insiden itu diterima kira-kira pukul 8.26 malam di Balai Polis Kuala Perlis oleh waris mangsa.
“Suspek yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental bertindak menetak bapanya sebelum melarikan diri ke arah Kampung Pak Lengah,” katanya.
Sumber itu berkata, pasukan siasatan jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar kini sedang mempergiat usaha memburu suspek bagi membantu siasatan.
“Mangsa kini dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan lanjut di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), termasuk menjalani imbasan CT dan rawatan kecemasan,” katanya.
Tambahnya, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek untuk segera menghubungi IPD Kangar bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE