PUTRAJAYA – Selain komited membangunkan semula Gaza, kerajaan juga akan memberi bantuan khusus kepada Baitul Maqdis, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan mewujudkan dana wakaf khusus bagi merancakkan aktiviti madrasah dan pendidikan di sekitar Masjid Al-Aqsa itu.
Menurutnya, beliau mahu rakyat Malaysia supaya terus membantu dan menunjukkan rasa ihsan serta tanggungjawab dalam meringankan beban penduduk di Gaza dan Baitul Maqdis.
“Bantuan kemanusiaan ini perlu kita teruskan. Selain membangunkan semula Gaza, kita juga akan bantu untuk kemajuan di Baitul Maqdis.
“Ia termasuk merancakkan madrasah-madrasah di sekitar Baitul Maqdis,” katanya ketika berucap pada Majlis Ilmu Bersama Imam Besar Masjid-Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Said Sabri di Masjid Putra, di sini hari ini.
Katanya, dana wakaf itu juga disalurkan bagi merancakkan aktiviti pendidikan di Universiti Al-Quds.
Anwar berkata, beliau juga telah berbincang dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan universiti-universiti tempatan bagi menjalinkan hubungan dengan Universiti Al-Quds.
Terdahulu, ribuan jemaah hadir pada majlis ilmu itu di mana Sheikh Dr Ekrima turut mengimamkan solat maghrib dan isyak.
Sheikh Dr Ekrima yang juga bekas Mufti Besar Palestin tiba di negara ini pada Selasa lalu dalam rangka lawatan ke negara ini dan dijangka pulang pada 27 Februari ini. – KOSMO! ONLINE