SHAH ALAM – Pertandingan seni bela diri campuran (MMA) bertukar kecoh selepas berlaku pergaduhan melibatkan 15 penonton dalam kejadian di Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 19, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan polis berkaitan kejadian itu kira-kira pukul 2.11 petang semalam daripada seorang lelaki yang mewakili penganjur pertandingan itu.
Katanya, berdasarkan laporan pengadu menyatakan telah berlaku pergaduhan melibatkan sekitar 15 orang penyokong yang hadir ke pertandingan tersebut.
Pergaduhan mula berlaku di dalam dewan sebelum berlarutan sehingga ke luar dewan.
“Punca kejadian adalah disebabkan pertengkaran antara dua peserta yang telah dibatalkan penyertaan oleh penganjur dalam pertandingan tersebut kerana pihak lawan tidak hadir dan sakit.
“Kedua-dua peserta ini kemudiannya telah bertengkar dan mengajak untuk berlawan di atas gelangggang,” katanya hari ini.
Jelasnya, tindakan provokasi kedua-dua belah pihak telah menyebabkan keadaan semakin tidak terkawal hingga menyebabkan penyokong masing-masing bergaduh serta membaling kerusi.
Tambahnya, seorang lelaki berusia 45 tahun yang juga peserta pertandingan berkenaan cedera dan telah menerima rawatan di sebuah hospital tempatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
“Bertindak maklumat, dua lelaki berusia 40 dan 45 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes itu berjaya ditangkap pukul 5.20 petang hari sama.
“Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai masing-masing empat dan lima rekod lampau berkaitan pelbagai kesalahan jenayah namun negatif dadah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE