PETALING JAYA – Seorang pemancing berjaya menjinakkan seekor patin sebenart 13.305 kilogram (kg) dengan umpan roti kosong dan dinobatkan sebagai juara pada pertandingan memancing PJ Joran 2025 di Taman Tasik Bandaran, Kelana Jaya semalam.
Mohd. Farid Napie, 39, dari Shah Alam berjaya menaikkan patin tersebut pada pukul 11.07 pagi membawa pulang wang tunai RM6,000 berserta piala.
Menurutnya, kemenangan ini adalah hasil pengalamannya yang telah berkecimpung dalam dunia pertandingan memancing selama 12 tahun.
“Saya tidak menyangka kemenangan ini kerana hanya menggunakan roti kosong sebagai umpan. Ikan patin ini berjaya dinaikkan dalam tempoh 12 minit.
“Wang kemenangan ini akan digunakan sebagai persediaan menyambut bulan Ramadan yang bakal tiba,” katanya.
Sementara itu, tempat kedua disandang oleh M. Dani Hakim Mohd. Naim, 14, yang membawa pulang RM3,000 selepas berjaya menaikkan kap rumput seberat 6.895 kg.
Tempat ketiga pula milik Siew Yew Choe, 54, yang menerima RM1,000 dengan hasil tangkapan kap rumput seberat 6.205 kg.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Aznan Hassan.
Pertandingan memancing anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ini kembali untuk edisi keenam dengan penyertaan hampir 600 pemancing dari pelbagai negeri bersempena Tahun Melawat Selangor 2025.
Acara ini berjaya menarik peserta dan keluarga dari Selangor, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang. – KOSMO! ONLINE