JAKARTA – Seorang wanita diselamatkan daripada terus hanyut di sebatang sungai di Parangtritis, Jogjakarta selepas tangisannya pada awalnya disangkakan hantu, lapor laman berita Portal Jogja.
Dalam kejadian Jumaat lalu, Pos Mencari dan Menyelamat (SAR) Parangtritis menerima laporan sekitar pukul 2.50 pagi (waktu tempatan) yang mengatakan terdapat suara wanita menangis di tengah Sungai Opak.
Tambahnya, suara itu didengari oleh seorang anggota yang kebetulan berada di lokasi tersebut.
“Saya sangkakan hantu kerana tiba-tiba sahaja ada suara perempuan menangis di tengah sungai.
“Saya kemudian diberitahu oleh seorang pemancing bahawa ada seseorang di tengah sungai. Saya terus melaporkan perkara itu kepada petugas setempat,” kata anggota SAR Parangtritis, Sudadi.
Pasukan SAR kemudian menghantar anggota tambahan ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa sebelum dia dihantar ke hospital terdekat bagi menerima rawatan.
Laman berita Detik melaporkan, wanita itu terjatuh ke dalam sungai selepas bertengkar dengan rakannya. – AGENSI