JAKARTA – Gara-gara seekor lembu terlepas daripada lori, pengguna Jalan Tol Jakarta-Cikampek terperangkap dalam kesesakan yang teruk ketika polis dan penduduk setempat cuba menangkap haiwan itu di tengah jalan, lapor laman berita Detik.
Dalam kejadian pada Khamis lalu, lembu tersebut mengamuk berhampiran plaza tol ketika orang ramai cuba menangkapnya.
Lembu itu lari ke serata tempat sehinggakan ramai anggota polis terpaksa dikerahkan, selain pawang turut dipanggil.
Ketua Markas Polis Trafik Cikampek, Asisten Komisioner Sandy Titah Nugraha berkata, pihaknya menerima laporan mengenai lembu itu yang dikatakan berkeliaran di tengah jalan raya sehingga membahayakan pengguna lalu lintas.
Ujarnya, pihaknya terpaksa meminta bantuan pemandu beberapa buah bas dan lori untuk mengepung lembu tersebut.
Tambahnya, pelbagai cara dilakukan termasuk menembak haiwan itu, namun ia dihentikan kerana membahayakan orang ramai.
“Saya meminta pemandu kenderaan besar mengepung lembu itu. Akhirnya, polis, petugas tol dan pawang berjaya menangkapnya.
“Selepas sejam, lembu itu ditangkap setelah lalu lintas terhenti sepenuhnya,” kata Sandy.
Menurutnya lagi, lembu itu bagaimanapun terpaksa disembelih di lokasi kejadian bagi mempercepatkan proses memindahkannya ekoran keadaan haiwan itu yang masih enggan bertenang.
“Kami bimbang jika ia ditambat, ia akan terlepas lagi. Jadi, kami membuat keputusan dalam masa singkat untuk menyembelihnya di situ juga,” katanya. – AGENSI