KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan, bukan 18 sebaliknya 23 akaun TikTok organisasi media tempatan dikenakan sekatan oleh aplikasi media sosial tersebut.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang berhubung dengan TikTok bagi mendapatkan penjelasan isu tersebut.
Katanya, sekatan itu mungkin berkait dengan video kejadian cabul seorang kanak-kanak di sebuah masjid di Batang Kali baru-baru ini.
“Pihak media merasakan tidak ada (melakukan) apa-apa kesalahan kerana mereka tak tunjuk wajah kanak-kanak perempuan tersebut.
“Secara automatik disekat mungkin juga disebabkan AI (kecerdasan buatan) yang digunakan,” katanya pada sesi penggulungan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi berhasrat melakukan intervensi supaya TikTok memahami kod etika media Malaysia dan melakukan penyesuaian.
Sementara itu, katanya, lebih 90 peratus kandungan yang diturunkan daripada platform media sosial membabitkan penipuan dalam talian.
Menurut beliau, turut diturunkan akses yang terlalu mudah kepada perkara tidak sesuai dengan pembangunan sahsiah kanak-kanak.
“Anak-anak di bawah 13 tahun tidak perlulah main media sosial, mainlah bola sepak, bermain dengan kawan-kawan.
“Paling membimbangkan pembangunan mental kanak-kanak yang mungkin terjejas akibat algoritma (algorithm) yang mencandukkan media sosial kepada kanak-kanak,” katanya. – KOSMO! ONLINE