SHAH ALAM – Kementerian Kerja Raya (KKR) melaksanakan sebanyak 11 projek pemasangan bagi sistem fotovolta suria di kawasan bangunan kerajaan di seluruh negara.
Lima projek yang dilaksanakan sejak tahun lalu itu telah siap sepenuhnya seperti bangunan Parlimen, Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Wisma Pertahanan dan Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Baki enam lagi projek yang bakal disiapkan tahun ini pula antaranya melibatkan Insititut Latihan Kementerian Kesihatan (KKM), kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Lingi berkata, kesemua projek itu sudah diluluskan oleh Kementerian Ekonomi yang menyediakan peruntukan dan dana pembinaannya.
Jelas beliau, pemasangan sistem berteknologi hijau itu menjadi dasar kerajaan dalam mengurangkan kos penjimatan elektrik di bangunan kerajaan.
“Semua kementerian diberi peluang untuk memasang sistem solar itu namun permohonan perlu dibuat kepada Kementerian Ekonomi bagi kelulusan lanjut.
“Setakat ini, kita melaksanakan 11 projek termasuk enam lagi yang masih dalam proses pemasangan,” katanya pada majlis penyerahan projek itu di Ibu Pejabat JKR negeri, Seksyen 17 di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE