SEBERANG PERAI – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mempertahankan kenyataannya berhubung keputusan kerajaan memajak 28 helikopter bernilai RM16 billion dibuat berdasarkan fakta.
Menurutnya, penjelasan yang diberikan amat teliti dan terperinci justeru beliau hairan bagaimana kenyataan itu didakwa mengelirukan pihak pembangkang.
“Sekarang apabila kita faham konsep ini, syarikat itu mesti beli dulu (helikopter), kalau kita pergi (7:05) kepada syarikat OEM (syarikat pengeluar peralatan tulen), dia tidak akan buat helikopter.
“Dalam hal ini, kerajaan tak payah bayar. Saya kata bila helikopter siap baru kerajaan bayar. Ini maknanya, syarikat (yang dipilih) itu mesti sediakan duit sebab kos helikopter RM4 bilion lebih. Dia (syarikat) kena sediakan duit. Tak bolehlah ambil syarikat kat tepi jalan.
“Ini maknanya mesti (pilih) syarikat yang kuat dan syarikat Weststar memang sebuah syarikat mengendalikan perkhidmatan helikopter bukan sahaja di Malaysia, malah di luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang mendakwa penjelasan diberikan berhubung pajakan memperoleh 28 helikopter itu mengelirukan.
Jelasnya lagi, syarikat yang dipilih turut menyediakan perkhidmatan keluarga Diraja Arab Saudi.
“Syarikat berkenaan juga telah membekalkan perkhidmatan helikopter untuk Petronas, jadi syarikat ini bukan biasa-biasa kerana ia ada kemampuan dalam kewangan. Jika tidak, kerajaan yang kena keluarkan wang. Kalau kita tak buat cara ini (pajakan), sampai bila pun kerajaan tidak ada helikopter,” katanya. – KOSMO! ONLINE