NEW DELHI – Rakan sekolah, ahli keluarga dan jiran adalah antara berpuluh-puluh lelaki yang ditahan kerana didakwa memperkosa seorang remaja perempuan berumur 18 tahun di negeri Kerala, lapor akhbar Metro UK semalam.
Mangsa membuat laporan polis berhubung penderaan seksual yang dialaminya sejak lima tahun lalu pada Januari lepas.
Sepanjang tempoh tersebut, seramai 58 orang termasuk remaja lelaki telah ditangkap dan dituduh menodai mangsa.
Mereka yang dituduh berumur antara 17 hingga 47 tahun. Ia termasuk lelaki yang sudah berkahwin dan sekurang-kurangnya lima pelajar dari kolej mangsa dan bekas rakan sekelas sekolahnya.
Terdapat juga empat kanak-kanak bawah umur dan dua lagi remaja bawah umur pada masa jenayah dilakukan sekali gus merumitkan lagi siasatan, lapor akhbar India News Media.
Salah seorang suspek yang merupakan rakan mangsa sejak kecil, didakwa menyerang remaja itu secara seksual dan merakam video.
Ia kemudian digunakan untuk mengugut mangsa bagi menyediakan khidmat seks kepada rakan lain.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Kanak-Kanak di Pathanamthitta, Rajeev memberitahu media tempatan: “Berita mengenai mangsa mungkin telah tersebar dari seorang lelaki kepada lelaki lain, kepada rakan atau rakan sekerja mereka.
“Agak ramai tertuduh berasal dari kawasan kejiranan dan pekerja. Kami terkejut mendengar mangsa menamakan begitu ramai lelaki.” – AGENSI