KUALA LUMPUR – Seorang bekas jurulatih seni bela diri campuran (MMA) warga Iran dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 1,858.3 gram dadah jenis kanabis, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu ke atas Ahmad Dehgani, 27, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan yang didakwa ke atasnya.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara sembilan tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 16 Mac 2023.
Mengikut kedua-dua pertuduhan itu, Ahmad didakwa memiliki dadah itu dengan berat bersih 997.7 gram dan 860.6 gram di dua lokasi di Jalan Sri Permaisuri, Cheras dan Jalan Baba Pudu, Dang Wangi di sini antara 3 petang dan 4.30 petang pada 16 Mac 2023.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) yang diboleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan maksimum 10 sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khalijah Mohd Khalid memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh serta memohon supaya hukuman penjara itu tidak berjalan serentak.
Bagaimanapun, peguam Abdul Rashid Ismail yang mewakili tertuduh memohon supaya hukuman pemenjaraan terhadap anak guamnya dalam tempoh singkat atas alasan tertuduh telah insaf serta tidak akan mengulangi kesalahan sama.
“Anak guam saya sedar bahawa dia tidak sempat untuk menamatkan pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan selepas ditahan atas kesalahan ini dan dia sepatutnya bergraduasi pada Jun 2023,” kata peguam itu. – KOSMO! ONLINE