PETALING JAYA – Semarak Renewable Energy Sdn. Bhd. (SeRenE) menjalin kerjasama strategik dengan Megamas Resources (Megamas) dari Singapura untuk membangunkan kapal canggih bagi kerja-kerja pemasangan dan penyelenggaraan kabel tenaga luar pesisir serta telekomunikasi dasar laut.
Inisiatif ini akan diterajui oleh syarikat usaha sama, Semarak MIS Sdn. Bhd., dengan matlamat memperkukuh infrastruktur tenaga dan digital di Asia Tenggara berikutan termeterainya memorandum perjanjian (MoA) antara SeRenE dan Megamas di sini.
Kapal sepanjang 120 meter ini direka dengan teknologi terkini oleh Ulstein Design dan Solutions dari Norway, dilengkapi sistem Dynamic Positioning Class 2 (DP2) bagi memastikan operasi lebih stabil dan cekap dalam pelbagai keadaan laut.
Projek ini turut mendapat sokongan syarikat antarabangsa termasuk Chalfouh LLC, Crewstone International dan Symphonet yang akan membantu dalam aspek strategik, pembiayaan serta pemasangan kabel dasar laut.
Pengarah Urusan SeRenE, Muhammad Shahil Ishak berkata, usaha sama ini adalah langkah penting bagi syarikat untuk mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui.
“Dengan kombinasi kepakaran dalam tenaga hijau dan teknologi dasar laut, projek ini dijangka meningkatkan kecekapan tenaga luar pesisir serta memperkukuh kesalinghubungan digital serantau,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Kapal pertama dijangka beroperasi menjelang pertengahan tahun 2027.
SeRenE adalah syarikat yang terlibat dalam menawarkan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, termasuk tenaga suria, tenaga angin luar pesisir dan penyimpanan tenaga manakala Megamas adalah penyedia perkhidmatan marin dan luar pesisir khusus dalam pemasangan, pembaikan dan penyelenggaraan kabel dasar laut untuk tenaga serta infrastruktur telekomunikasi. -KOSMO! ONLINE