TRUJILLO, PERU – Seorang remaja merayu supaya dia diselamatkan selepas tertimbus di bawah runtuhan sebuah pusat beli-belah di Peru, lapor akhbar Metro UK semalam.
Dalam kejadian Jumaat lalu, bumbung pusat beli-belah Real Plaza di bandar Trujillo runtuh, menyebabkan empat orang disahkan mati dan 79 cedera setakat ini.
Berdasarkan rakaman video pendek, remaja perempuan tidak dikenali itu meminta bantuan untuk menyelamatkannya.
“Saya terperangkap,” katanya dalam keadaan gelap dan wajah yang sukar dilihat jelas, namun masih tenang.
Tidak diketahui sekiranya mangsa pergi ke pusat beli-belah tersebut bersama orang lain atau nasib yang menimpa mereka.
Namun, pasukan mencari dan menyelamat masih meneruskan usaha mencari mangsa-mangsa yang terperangkap menggunakan lampu suluh.
Usaha menyelamat menjadi sukar akibat kekurangan peralatan, menyebabkan protes tercetus di kawasan itu ketika waris mendesak tindak balas lebih pantas dilakukan.
Punca runtuhan masih dalam siasatan, namun spekulasi menyebut ia disebabkan oleh hujan lebat di pantai utara Peru. – AGENSI