fbpx

Geng Peter aktif pecah rumah tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KLANG – Kelicikan Geng Peter mencari wang segera dengan melakukan jenayah pecah rumah teres khususnya sepanjang tempoh Pergerakan Kawalan Pergerakan (PKP) ini berakhir selepas ditangkap di sekitar Taman Sentosa di sini baru-baru ini.

Kesemua suspek lelaki termasuk ketua geng itu yang berusia 19 hingga 22 tahun diberkas dalam tempoh hampir dua jam bermula pukul 11.30 pagi, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mereka dikehendaki selepas terlibat dalam kes pecah rumah seorang juruaudit berusia 33 tahun pada 18 Januari lalu di Taman Saujana Jati di sini.

Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu didapati mangsa kerugian sebanyak RM3,000 melibatkan televisyen berukuran 44 inci, komputer riba jenama Lenovo, hard disk dan game boy.

“Bertindak hasil maklumat sepasukan pegawai dan anggota cawangan risikan jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan telah menahan keempat-empat termasuk ketua mereka di Taman Sentosa dan merampas televisyen yang dilaporkan hilang itu bersama spanar.

“Siasatan mendapati kumpulan ini baharu bergerak aktif pada bulan ini dengan terlibat dalam empat kes jenayah dengan menumpukan rumah teres di sekitar daerah ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Kata beliau, modus operandi mereka adalah memotong mangga gril dan mengumpil pintu rumah menggunakan pemotong besi serta pemutar skru.

Shamsul Amar menambah, tiga suspek termasuk ketua geng itu akan berperanan memasuki rumah mangsa manakala seorang lagi menjadi pemerhati keadaan sekeliling sepanjang jenayah dilakukan geng itu.

“Ketua geng mereka berusia 22 tahun itu kemudiannya akan menjual barang kemas hasil pecah rumah kepada ‘ulat pembeli emas’ iaitu kumpulan individu yang membeli emas secara tidak sah dengan berlegar-legar berhampiran kedai pajak gadai sekitar bandar Klang.

“Hasil siasatan awal mereka mampu meraih hasil jualan sehingga RM9,000 dan akan dibahagikan antara ahli geng itu,” jelasnya.

Jelas beliau, semakan mendapati tiga daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah selain kita masih memburu dua lagi ahli geng ini.

“Mereka kini direman empat hari bermula Sabtu lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI