PORT DICKSON – Sepasang suami isteri sedih melihat bayi mereka berusia enam bulan yang menderita penyakit hemangioma dan sindrom budd chiari, menyebabkan perutnya membesar hingga 52 sentimeter berbanding 44 sentimeter sebelum ini.
Wan Niyaz Mukhriz yang merupakan anak kedua kepada pasangan Farah Nadia Khalid, 32, dan Wan Hibatul Haziq Habib, 27, turut disahkan doktor mengalami masalah jantung tersumbat.
Farah Nadia berkata, sepanjang kehamilan, bayinya menunjukkan perkembangan baik, namun ketika hendak melahirkan, doktor mengesan perut bayinya sedikit membesar.
“Selepas dilahirkan, bayinya dimasukkan ke unit rawatan intensif neonatal (NICU) sebelum disahkan menghidap hemangioma.
“Selepas sebulan keluar dari NICU, anak saya disahkan pula menghidap sindrom budd chiari atau pembuluh darah di hati tersumbat,” katanya di rumahnya di Rumah Rakyat Pengkalan Durian, dekat Linggi di sini kelmarin.
Farah Nadia yang juga suri rumah berkata, doktor tidak pasti sama ada perut anaknya akan membesar atau tidak dan ketika ini di bawah pemantauan serta rawatan susulan di Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban dan Hospital Serdang.
Katanya, anaknya kini perlu makan dua jenis ubat bagi masalah jantung dalam bentuk cecair serta minum susu khas setiap hari yang berharga RM112 satu tin 800 gram.
“Sekarang doktor hanya pantau keadaan anak, jika keadaan boleh menjejaskan nyawanya, mungkin pembedahan akan dibuat.
“Saya juga ikhtiar dengan membuat rawatan alternatif dan mendapatkan maklumat daripada pakar perubatan lain.
“Bagaimanapun, sehingga kini tiada doktor yang berjaya merawatnya. Saya ada hubungi beberapa hospital swasta, tapi tiada lagi yang bersedia terima kes ini,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akaun Maybank 155042058009 (Farah Nadia Khalid) atau menghubungi di talian 010-291 0059.