GEORGE TOWN – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pelaburan saham tidak wujud di negeri ini dengan mensasarkan pelabur dari negara China menerusi aplikasi Wechat Sabtu lalu.
Dalam operasi itu, seramai 21 suspek terdiri 13 warga tempatan dan lapan warga negara China diberkas di dua buah kediaman tiga tingkat di Batu Feringghi mulai pukul 7 malam.
Operasi tersebut dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan anggota Balai Batu Feringghi.
Ketua Polis Negeri, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, tangkapan ke atas kesemua suspek terbabit dijalankan selepas penangkapan dua suspek lelaki terdiri warga tempatan dan China di satu sekatan jalan raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Batu Feringghi.
Menurutnya, kedua-dua suspek yang menaiki sebuah kereta jenis Honda City itu ditahan selepas disyaki berada dalam keadaan mencurigakan.
“Susulan penahanan suspek terbabit telah membawa polis ke dua buah kediaman di Batu Feringghi dan hasil pemeriksaan lanjut telah menahan seramai 21 suspek terdiri 12 lelaki dan seorang wanita tempatan serta lapan suspek masing-masing lima lelaki dan tiga wanita warga China.
“Siasatan lanjut, sindiket yang beroperasi di Pulau Pinang itu baru aktif sejak dua bulan lalu dengan menawarkan pelaburan saham atas talian yang disyaki tidak wujud melibatkan mangsa warga China,” katanya pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang di sini sebentar tadi.
Beliau memberitahu, sindiket berkenaan masih dalam proses pengiklanan, mengemaskini harga pasaran saham dan urusan pembayaran menggunakan aplikasi Wechat.
“Operasi yang dijalankan di Malaysia adalah bagi tujuan mengelak dikenakan hukuman mengikut undang-undang Negara China memandangkan mangsa adalah daripada kalangan warganegara terbabit.
“Kita masih menyiasat penglibatan mangsa dari negara ini termasuk jumlah keuntungan daripada pelaburan yang diperoleh. Setakat ini belum ada laporan polis membabitkan mangs di negera ini,” ujarnya suspek menerima pembayaran gaji sebanyak RM2,000 hingga RM4,000 sebulan. – K! ONLINE.