BIARPUN tidak lagi aktif dalam dunia lakonan, nama Anzalna tidak pernah hilang dari radar industri hiburan.
Mungkin kerana pemilik nama lengkap Nur Anzalna Mohd. Nasir itu aktif dalam melayani peminat menerusi siaran langsung TikTok.
Ramai juga yang suka melihat telatah dan lawak spontan yang terbutir dari mulut wanita berusia 37 tahun itu.
Selepas lebih tujuh tahun berehat, kini Anzalna sedang merancang untuk kemunculan semula memandangkan anak sulungnya iaitu Mohamad Eidrees sudah berusia enam tahun.
“Saya berehat untuk tidak lagi berlakon pun atas pilihan sendiri sebab saya gembira duduk di rumah dengan anak-anak.
“Lagi pun, saya boleh nampak anak-anak membesar depan mata.
“Rindu nak berlakon juga sebab dah tujuh tahun tidak beraksi tetapi insya-Allah tahun ini saya mula berlakon balik cuma tidak tahu bila, kena tengok keadaan.
“Emirhan (anak kedua) baru tiga tahun jadi fokus saya memang ke arah anak-anak. Kena betul-betul pilih naskhah yang bersesuaian dengan masa dan jadual saya,” katanya kepada HibGlam.
Bagaimanapun, pelakon drama Aku Isterinya itu bersyukur rezekinya masih melimpah-ruah, terutama tawaran menjadi duta beberapa produk.
“Alhamdulillah, walaupun tak berlakon tetapi banyak jadi duta produk. Kalau bukan saya, anak-anak dapat tawaran.
“Rezeki tak putus walaupun sudah tak aktif dalam industri hiburan,” ujarnya lagi.
Kongsinya lagi, bukanlah niat utama mahu mengetengahkan anak-anak dalam dunia seni tetapi lebih kepada mahu memberi pendedahan buat mereka sejak kecil.
“Sebenarnya, saya tiada niat nak bagi anak-anak dalam bidang ini tetapi ada tawaran.
“Apa yang penting, klien faham bekerja dengan budak akan susah sikit. Saya pun tidak mahu paksa anak bekerja sebab mereka masih kecil.
“Seronok kadang-kadang tengok mereka menjalani sesi fotografi. Boleh jadi kenangan bila besar dan pendedahan buat mereka,” tutupnya.
Dalam perkembangan terbaharu, Anzalna kini merupakan antara duta produk Jakel bersama keluarganya.