PETALING JAYA – Syarikat rakaman Faithful Music mengambil keputusan untuk tidak memuat naik muzik video single terbaharu, Hannah Delisha berjudul Terlalu Mudah bagi menghormati imej pelakon itu yang sudah bertudung.
Wakil syarikat tersebut, Karim Razali berkata, pihaknya mengambil keputusan berkenaan selepas mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan Faithful Music baru-baru ini.
Ujarnya, muzik video Terlalu Mudah sudah dirakam pada hujung tahun 2019 dan pada waktu tersebut pelakon drama Cinta Sekali Lagi itu belum lagi memakai tudung.
“Mengikut perancangan, kami nak lancarkan muzik video itu pada awal tahun lalu tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan, kami terpaksa tangguhkan dahulu.
“Namun, selepas mengadakan perbincangan baru-baru ini termasuk dengan pengasas Faithful Music, Faizal Tahir, kami ambil keputusan untuk tidak mengeluarkan muzik video lagu itu demi menghormati imej baharu Hannah yang sudah berhijab,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Tambahnya, Faithful Music juga tidak merancang untuk merakam semula muzik video baharu tetapi akan memuat naik video lirik untuk lagu tersebut dalam masa terdekat.
“Sebenarnya Hannah tidak kisah kalau kami nak muat naik muzik video tersebut sebab semasa rakaman dijalankan memang dia belum memakai tudung.
“Buat masa sekarang, memang tiada perancangan untuk rakam semula muzik video sebab kita terikat dengan PKP, jadi pihak kami akan keluarkan muzik video lirik sahaja untuk lagu ini,” ujarnya.
Menurutnya, lirik video rasmi Terlalu Mudah sedang disiapkan dan dijangka bakal menemui peminat pada 29 Januari ini (Jumaat).
Terdahulu, Hannah atau nama sebenarnya Hannah Adlina Blackburne Birch, 25, mengumumkan dia sudah memakai hijab sepenuhnya sekitar bulan September tahun lalu. – K! ONLINE