PEKAN – Bangkai paus yang ditemukan terdampar di Pantai Sungai Miang di sini berkemungkinan adalah daripada paus jenis Bryde atau Fin berdasarkan keadaan bangkai yang ditemukan.
Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata, bagaimanapun analisis eDNA atau enviromental DNA detection akan dilakukan bagi menentukan spesies paus itu dengan lebih tepat memandangkan bangkai itu telah reput.
“Bertindak atas maklumat awam, pasukan dari Pejabat Perikanan Negeri Pahang bersama Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang (IPPRA) Terengganu telah turun ke lokasi untuk meninjau keadaan bangkai berkenaan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati bahawa bangkai paus tersebut telah lama mereput dan menyebabkan kesukaran dalam proses pengecaman spesies,” katanya di sini hari ini.
Menurut Adnan di bawah Akta Perikanan 1985, spesies paus dilindungi di bawah peruntukan berkaitan spesies marin terancam dan sebarang gangguan atau eksploitasi terhadap paus adalah dilarang dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Justeru katanya, jabatan akan terus memantau situasi tersebut dan akan mengambil tindakan lanjut sekiranya diperlukan.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Sungai Miang, Muhammad Karim, berkata, bangkai paus berkenaan ditemukan oleh pemancing kira-kira pukul 4.45 petang semalam.
Katanya, beliau percaya bangkai berkenaan dihanyutkan ke pantai berkenaan ketika air pasang besar minggu lalu.
“Selepas ini penduduk kampung bercadang bergotong-royong menanam bangkai itu kerana ia sudah busuk dan berulat.
“Sebelum ini penduduk pernah menemui bangkai paus terdampar di kawasan pantai di sini tetapi saiznya kecil sahaja,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE