MERSING – Seorang kanak-kanak dua tahun berdepan detik cemas selepas terperangkap di dalam kereta ibunya selama kira-kira 20 minit selepas kenderaan tersebut terkunci.
Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Mersing, Penolong Penguasa Bomba Abdul Muiz Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada pukul 9.35 pagi tadi dimana kejadian berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anjung Batu.
Katanya, seramai sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dengan kenderaan utiliti bagi menjalankan operasi menyelamat kanak-kanak perempuan di dalam Proton Exora itu.
“Ibu kepada mangsa berusia 32 yang menghubungi pihak bomba memaklumkan kejadian itu. Difahamkan semasa tiba ditempat kejadian, enjin serta penghawa dingin kereta masih hidup dan kanak-kanak tersebut berada dalam kenderaan yang terkunci.
“Ibu kepada kanak-kanak tersebut ingin menghantar bunga kepada cikgu sekolah berkenaan dan meninggalkan anak beliau dalam carseat.
“Bagaimanapun bila selesai hantar bunga dan berpatah semula ke kereta didapati anaknya itu sudah terlepas dari carseat dan anaknya yang menekan butang kunci lalu ibunya terus hubungi pihak bomba,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, setibanya di lokasi, pihak bomba cuba untuk mengarahkan kanak-kanak itu menekan semula butang ‘unlock’ tetapi malangnya anak tersebut tidak pandai dan peralatan khas digunakan untuk membuka pintu kereta berkenaan. – KOSMO! ONLINE