KUALA LUMPUR – Seramai 72,385 daripada 122,062 murid tahun satu yang dikenal pasti memerlukan intervensi membaca, menulis, dan mengira (3M) telah berjaya menguasai kemahiran asas tersebut.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kejayaan program Pengesanan Awal Literasi dan Numerasi untuk murid terbabit adalah yang direkodkan setakat 31 Januari tahun ini.
“Secara keseluruhan, 59.30 peratus atau 72,385 murid tahun satu yang dikenal pasti dalam Pengesanan Awal Literasi dan Numerasi berjaya menguasai kemahiran asas 3M sepanjang tahun 2024.
“Bagi murid yang masih belum menguasai kemahiran ini, mereka akan mengikuti Program Pemulihan Khas di tahun dua,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) berhubung perkembangan program intervensi pemulihan khas penguasaan asas 3M kepada murid sekolah
Kah Woh berkata, Program Intervensi Fasa Satu bermula Julai hingga September 2024 mendapati 39.58 peratus atau 48,308 murid berjaya menguasai kemahiran asas 3M.
Menurut beliau, baki 60.42 peratus atau 73,754 murid meneruskan intervensi dalam fasa dua yang dilaksanakan dari Oktober hingga Disember 2024.
Kata beliau, data sehingga 31 Januari lalu menunjukkan 32.65 peratus atau 24,077 murid daripada baki terbabit berjaya menguasai asas 3M.
“Pendekatan bersepadu membabitkan pelbagai pihak termasuk ibu bapa, komuniti, serta sektor swasta amat diperlukan bagi memastikan setiap murid mendapat sokongan yang mencukupi untuk menguasai kemahiran asas ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE