PETALING JAYA – Selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia hari ini melancarkan portal ASEAN GEMS (Global Exchange for Mobility & Scholarship), sebuah platform transformasi yang akan menjadi pusat utama bagi peluang biasiswa di seluruh rantau ini.
Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, inisiatif ini bertujuan untuk memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada pelajar ASEAN.
Jelasnya, inisiatif ini juga adalah bagi membantu pelajar yang berpotensi tetapi kurang berkemampuan.
“Bagi tahun 2025, sebanyak 300 biasiswa telah diperuntukkan dengan jumlah keseluruhan sekitar AS$4 juta (RM17.5 juta).
“Dana ini dikumpulkan daripada negara-negara ASEAN, sektor swasta serta penyumbang lain bagi memastikan lebih ramai pelajar mendapat manfaat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian Forum Universiti ASEAN 2025 (AEF2025) di sini, hari ini.
Menurut beliau, portal ini bukan sahaja menyediakan peluang biasiswa namun, turut membuka ruang kepada lebih banyak universiti ASEAN untuk menyertai inisiatif ini, sekali gus mengukuhkan kerjasama pendidikan serantau.
“Kami mengalu-alukan penyertaan universiti ASEAN lain dalam menyumbang kepada inisiatif murni ini,” ujarnya.
Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dilihat berperanan besar dalam merangka masa depan pendidikan di rantau ini.
Dengan ASEAN GEMS dijangka menjadi platform utama dalam memperkasakan mobiliti akademik dan akses kepada pendidikan berkualiti.
Mengenai AEF2025, Education Malaysia Global Services (EMGS) dengan kerjasama KPT menganjurkan forum berkenaan selama dua hari bermula hari ini.
Pameran pertama kali diadakan dan terbesar di ASEAN itu menampilkan lebih 90 pempamer dan pelajar mobiliti dari seluruh rantau, termasuk institusi dari Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Timor-Leste.
Bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ forum itu direka bentuk khusus sebagai platform utama bagi pihak universiti, penggubal dasar, pakar industri dan pelajar membincangkan cabaran serantau, menjalin perkongsian strategik dan memacu pembangunan mampan dalam sektor pendidikan. – KOSMO! ONLINE