JOHOR BAHRU – 13 daripada 17 ahli sindiket yang diberkas selepas terlibat dalam penyeludupan dan pengedaran dadah terbesar membabitkan RM341 juta di negeri awal bulan ini akan didakwa esok.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek terdiri daripada 10 lelaki dan tiga wanita berusia antara 17 hingga 62 tahun akan dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru.
Menurutnya, lapan daripada mereka akan didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Manakala lima lagi suspek akan didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985.
“Empat lagi suspek dibebaskan dan akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan esok,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Ayob Khan berkata, kesemua 17 suspek merupakan ahli sindiket yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah terbesar dalam negara ini melibatkan rampasan dadah bernilai RM341 juta.
Mereka diberkas antara 8 hingga 17 Januari lalu menerusi 23 serbuan di Mount Austin dan Setia Indah di sini sehingga polis berjaya membongkar lima stor menyimpan dadah dan dua makmal haram memproses dadah.- K! ONLINE.