SHAH ALAM – Sebanyak 217 sekolah tahfiz di Selangor dalam proses pemutihan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, daripada jumlah itu sebanyak 49 sekolah tahfiz telah memperoleh kebenaran merancang (KM) penuh dan selebihnya 168 sekolah telah selesai isu-isu dokumentasi untuk mendapatkan KM.
“Sekarang ini, kita berbaki 389 yang sedang diusahakan oleh Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan kita akan berakhir pendaftaran ini pada akhir tahun ini.
“Saya optimis kerajaan negeri berada di landasan yang betul untuk kita menzahirkan hasrat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar tahfiz-tahfiz di Selangor beroperasi secara selamat untuk anak-anak dan pengusaha tahfiz,” katanya ketika sesi penggulungan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Beliau turut menafikan terdapat elemen salah guna kuasa oleh ahli majlis PBT sehingga menyukarkan pihak pengurusan tahfiz untuk mendaftarkan institusi tersebut secara sah.
“Menerusi semakan saya tidak ada. Dalam proses pemutihan ini, tidak langsung melibatkan kelulusan ahli majlis. Namun, saya mohon jika ada boleh laporkan terus supaya tindakan susulan boleh diambil,” katanya. -KOSMO! ONLINE