GEORGE TOWN – Rakyat tidak perlu gusar dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), sebaliknya mengambil peluang untuk mempelajari dan menguasainya bagi memastikan ia tidak ketinggalan dalam arus pemodenan global.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, setiap kali munculnya teknologi baharu, pasti wujud kebimbangan bahawa manusia akan digantikan oleh teknologi tersebut.
Namun katanya, sejarah membuktikan bahawa setiap revolusi teknologi sebelum ini tidak menghapuskan peranan manusia, sebaliknya mencipta lebih banyak peluang baharu.
“Dalam sejarah manusia atau sejarah dunia, memang ada banyak peringkat di mana ada teknologi revolusional yang muncul dan manusia masih tidak digantikan oleh teknologi tersebut.
“Jadi saya menyeru kepada orang ramai supaya tidak payah bimbang ataupun takut dengan teknologi baharu tetapi kita harus mempelajari teknologi baharu ini.
“AI bukanlah satu pilihan, sebaliknya kita perlu menguasai dan belajar mengenainya supaya kita tidak digantikan oleh mereka yang tahu menggunakan AI,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Lih Kang merasmikan peluncuran inisiatif penganjuran AI Horizon – Shaping the Future with Penang’s Talent yang akan dianjurkan di Pusat Konvensyen Spice Arena pada 8 dan 9 Ogos depan.
Menurut Lih Kang, kesedaran mengenai AI dalam kalangan rakyat dan pemain industri semakin meningkat, namun usaha berterusan masih diperlukan bagi memastikan semua pihak memahami kepentingan teknologi ini.-KOSMO! ONLINE