KUCHING – Seorang lelaki meninggal dunia dihempap runtuhan stor di rumahnya di Jalan Tan Sri Ong Kee Hui di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 27 tahun cuba merobohkan stor berkenaan.
“Mangsa dikatakan mahu meroboh stor tersebut tetapi dinding konkrit stor telah runtuh dan menghempap mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan yang digerakkan ke lokasi sebaik menerima laporan kira-kira pukul 10.08 pagi tadi bertindak mengeluarkan mangsa dari bawah runtuhan.
Bagaimanapun, katanya sebaik berjaya dikeluarkan, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik dari Hospital Umum Sarawak. – KOSMO! ONLINE