KAJANG – Seorang isteri didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh suaminya dalam satu kejadian tragis di sebuah rumah minggu lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Hew Pit Lee, 59, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil berikutan kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Pit Lee yang juga seorang suri rumah didakwa telah membunuh Wong Chee Min, 61, di sebuah rumah di Bandar Teknologi Kajang, Semenyih di sini antara pukul 10.30 pagi hingga 11 pagi pada 16 Februari lalu (2025).
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 April ini bagi sebutan semula kes.
Terdahulu, mahkamah terpaksa menangguhkan seketika prosiding pertuduhan apabila Pit Lee enggan menjawab sebarang pertanyaan dikemukakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin.
Pit Lee juga dilihat terpaksa dipujuk oleh anggota polis mahkamah sebelum prosiding pertuduhan disambung semula.
Ketika pertuduhan dibacakan, tertuduh hanya memandang ke bawah dan terpaksa dipanggil beberapa kali oleh jurubahasa, namun Pit Lee tidak memberikan sebarang respons.
Pada 17 Februari lalu, Kosmo! melaporkan perselisihan faham antara suami dan isteri dipercayai menjadi punca seorang wanita menikam suaminya sehingga maut dalam kejadian di hadapan sebuah unit pangsapuri di sini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu daripada orang awam sekitar pukul 11 pagi.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun yang merupakan seorang kontraktor, telah disahkan meninggal dunia.
Katanya, pihak polis telah merampas sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu, selain beberapa sampel barang kes bagi membantu siasatan.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat beberapa kesan tikaman. – KOSMO! ONLINE