BANGKOK – Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra mengaku kesilapan yang telah dilakukan terhadap penduduk Islam di wilayah Narathiwat, lapor portal berita Thai PBS World semalam.
Beliau membuat permohonan maaf itu berhubung pembunuhan beramai-ramai di daerah Tak Bai, Narathiwat semasa pentadbirannya kira-kira dua dekad lalu.
“Jika kesilapan telah dilakukan sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat, saya ingin memohon maaf agar dapat membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Dalam ucapannya kepada guru dan kakitangan lain di Sekolah Samphan Wittaya dalam daerah Cho Ai-rong, Narathiwat, Thaksin berkata, beliau mempunyai niat baik dan prihatin terhadap penduduk di selatan Thailand.
“Namun, terdapat kesilapan yang dilakukan,” kata Thaksin.
Pembunuhan beramai-ramai itu berlaku pada 25 Oktober 2004 apabila pasukan keselamatan bertempur dengan penunjuk perasaan yang menuntut pembebasan penduduk kampung yang ditahan polis.
Lebih 1,000 penunjuk perasaan ditangkap dan sekurang-kurangnya 85 orang maut, kebanyakan mereka akibat lemas selepas berhimpit-himpit di dalam trak semasa diangkut ke berek tentera.
Kes mahkamah berhubung kejadian itu ditangguhkan selama bertahun-tahun dan hanya selesai tahun lepas.
Bagaimanapun, ia digugurkan kerana tempoh jangka masa kes boleh dibicarakan ialah 20 tahun tanpa seorang pun pegawai polis dipenjarakan.
Mengulas mengenai dua letupan yang berlaku di Yala dan di lapangan terbang Narathiwat sebelum ketibaannya, Thaksin berkata, mungkin ada yang menyangka beliau akan panik dengan kejadian tersebut.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak terganggu dengan kejadian itu kerana sebelum ini telah terselamat daripada empat percubaan untuk membunuhnya. – AGENSI