KUALA LUMPUR – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 menyatakan tiga universiti awam (UA) antara lima agensi Persekutuan mengalami kerugian tertinggi selama tiga tahun berturut-turut dari 2021 hingga 2023.
LKAN 1/2025 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini menyebut, tiga UA itu adalah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Berdasarkan laporan itu, punca tiga UA terbabit mengalami kerugian terbabit disebabkan geran mengurus dan pendapatan janaan sendiri termasuk yuran pelajar tidak dapat menampung kos operasi.
UMS dilaporkan mengalami kerugian RM141.41 juta pada 2023, RM89.31 (2021) dan RM89.47 juta (2022), manakala UPM kerugian RM127.71 juta (2023), RM81 juta (2022) dan RM118.7 juta (2021).
USIM pula mencatatkan kerugian RM61.6 juta pada 2023, RM2.62 juta pada tahun 2022 dan RM14.21 juta pada tahun 2021.
Dua lagi agensi Persekutuan dilaporkan mencatat kerugian adalah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Pendapatan PPUM terdiri daripada caj rawatan pesakit tidak dapat menampung perbelanjaan operasi menyebabkan ia mengalami kerugian RM61.3 juta pada 2023, RM50.94 juta (2022) dan RM33.44 juta (2021).
Peningkatan perbelanjaan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam pula menyebabkan SWCorp merekodkan kerugian RM53.9 juta pada 2023, RM87.91 juta (2022) dan RM60.75 juta (2021). – KOSMO! ONLINE