KAJANG – Seorang wanita tempatan maut selepas kereta Perodua Myvi dipandunya memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh tiga kenderaan lain di Jalan Semenyih-Kajang, menghala ke arah Semenyih, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kemalangan maut itu berlaku kira-kira 11.15 malam.
Katanya, siasatan mendapati semasa kejadian, tiga buah kereta daripada arah Beranang menghala ke Semenyih.
“Semasa melalui Jalan Semenyih-Kajang sebuah kereta Perodua Myvi dari arah Semenyih telah masuk ke laluan bertentangan dan melanggar tiga kereta sebelum berpusing dan terbabas di tepi jalan.
“Akibat dari kemalangan ini, seorang wanita tempatan berusia 21 tahun (pemandu Myvi) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi wanita tempatan, 27, iaitu pemandu Proton Saga di bawa ke Hospital Kajang untuk mendapat rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, pemandu kereta Saga disahkan mengalami kecederaan ringan dan diberi cuti sakit selama dua hari.
Sementara itu, dua lagi pemandu lelaki iaitu pemilik kereta Proton Persona dan Toyota Mark X dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat. Inspektor Narolhisyam Endi di talian 019-5897115,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.