KUALA LUMPUR – Tunggakan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga 31 Disember 2023 berjumlah RM10.853 bilion melibatkan seramai 1.2 juta peminjam.
Laporan Ketua Audit Negara 1/2023 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2023 dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini mengesyorkan PTPTN mengkaji semula mekanisme kutipan bayaran balik pinjaman pendidikannya.
PTPTN antara lain disarankan melaksanakan mekanisme yang lebih efektif dan meningkatkan pemantauan terhadap pengurusan pinjaman dengan menetapkan kutipan bersasar mengikut tahun tertunggak.
“Bayaran balik pinjaman pendidikan yang tertunggak juga menunjukkan peningkatan dari tahun 2019 hingga 2023,” kata Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam satu kenyataan berhubung laporan tersebut.
Laporan itu turut mengesyorkan PTPTN mengkaji semula insentif diskaun bayaran balik terhadap pinjaman pendidikan dan pengecualian 100 peratus bayaran balik pinjaman pendidikan peminjam bagi yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama atau setaraf dengannya kepada peminjam bersasar atau yang layak.
PTPTN juga disarankan melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang diluluskan Jemaah Menteri pada 5 Julai 2024 termasuk pengeluaran surat peringatan dan tindakan penguatkuasaan, notis tuntutan, saman serta penghakiman. – KOSMO! ONLINE