RAMALLAH, Tebing Barat – Israel mengusir penduduk di tiga kem pelarian di Tebing Barat ketika Tel Aviv meningkatkan operasi selama sebulan di wilayah Palestin tersebut, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.
Menteri Pertahanan, Israel Katz berkata, kem pelarian di Jenin, Tulkarm dan Nur Shams akan diduduki oleh tentera Israel hingga tahun depan.
Tentera Israel mengerahkan satu divisyen kereta kebal mengepung bandar Jenin, tindakan pertama seumpamanya sejak 2002. Pihak berkuasa Palestin (PA) mengutuk tindakan tersebut.
Nabil Abu Rudeineh yang merupakan jurucakap Presiden Mahmoud Abbas menyifatkan keputusan mengerahkan divisyen kereta kebal itu sebagai ‘peningkatan berbahaya oleh Israel yang tidak akan membawa kepada kestabilan atau keamanan’.
Awal bulan ini pula , Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa operasi Israel yang bermula pada 21 Januari lalu itu menjadi semakin sengit sejak beberapa hari kebelakangan ini dan membawa kepada pengusiran 40,000 rakyat Palestin.
“Setakat ini, seramai 40,000 rakyat Palestin telah ‘dipindahkan’ dari kem pelarian di Jenin, Tulkarem dan Nur Shams. Semua kem pelarian ini kosong,” kata Israel Katz dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Israel telah mengarahkan supaya agensi pelarian Palestin di bawah PBB(UNRWA) menghentikan operasinya di semua kawasan tersebut.
Israel menakluki Tebing Barat semasa Perang Enam Hari dalam tahun 1967 dan telah membina kira-kira 160 penempatan haram di wilayah itu bagi menempatkan seramai 700,000 orang Yahudi. – AGENSI