DUNGUN – Seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang dalam perjalanan untuk belajar mengaji trauma tiba-tiba diserang seekor beruk di Taman Madani, Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang itu, mangsa, Muhammad Ammar Hakim Sanusi, 10, mengalami kecederaan pada bahagian lengan, punggung dan belakang badan akibat digigit dan dicakar haiwan liar terbabit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Ammar Hakim sedang berlari-lari anak untuk cepat sampai ke rumah guru mengaji al-Quran yang tidak jauh dari kediamannya.
“Seekor beruk bersaiz besar tiba-tiba menerkam kanak-kanak tersebut (Muhammad Ammar Hakim) dari arah belakang. Berlaku pergelutan, mangsa yang menjerit kesakitan cuba meronta-ronta untuk melepaskan diri tetapi beruk tersebut terus mengejar kanak-kanak tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Ghazali berkata, mangsa bernasib baik ibunya menyedari sebelum bertindak cepat menyelamatkan anaknya dan menghalau haiwan liar berkenaan.
Beliau berkata, Muhammad Ammar Hakim segera dikejarkan ke klinik sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. – KOSMO! ONLINE