KUALA LUMPUR – Sebanyak sembilan kereta dan lapan motosikal rosak akibat dihempap pokok tumbang di Seksyen 2, Wangsa Maju, malam tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Malaysia Daerah Kuala Lumpur Mejar (PA), Ahmad Junaidi Dukut Soerharto berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 11.43 malam.
Katanya, anggota APM melakukan kerja memotong dan mengalihkan pokok tumbang yang menghempap kenderaan terlibat sejurus tiba di lokasi kejadian.
“Sebanyak 17 kenderaan terlibat iaitu sembilan kereta dan lapan motosikal mengalami kerosakan akibat dihempap pokok tumbang di kawasan tempat letak kenderaan itu.
“Operasi memotong dan mengalihkan pokok itu membabitkan seorang pegawai dan 10 anggota,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan susulan insiden pokok tumbang di lokasi berkenaan. -KOSMO! ONLINE.