LONDON – Satu acara pemberian baju percuma di sebuah lokasi beli-belah di London bertukar huru-hara apabila orang ramai berebut-rebut sehingga memaksa polis campur tangan, lapor akhbar Metro UK semalam.
Beribu-ribu orang menyerbu Carnaby Street tengah hari semalam bagi mendapatkan pakaian percuma jenama Up In Flames dan Poser.
Rakaman video kejadian yang dimuat naik di platform TikTok menunjukkan sekumpulan remaja mengejar sebuah van membawa pakaian, dengan ada yang berpaut pada belakang kenderaan itu.
Pemandu dan pembantu van tersebut kemudian melempar pakaian ke arah orang ramai, menyebabkan mereka saling bertumbuk bagi merebut baju percuma.
Sebilangan pengunjung pitam, manakala beberapa lagi merampas pakaian daripada orang lain yang mendapatkannya terlebih dahulu.
“Polis dipanggil sekitar pukul 12.09 tengah hari (waktu tempatan), Sabtu, 22 Februari susulan laporan menyatakan orang ramai berkumpul di Soho ekoran promosi yang dikongsikan di media sosial.
“Polis menahan dua remaja lelaki bawah umur 16 tahun kerana disyaki mencuri daripada kenderaan, melakukan kerosakan dan bergaduh di tempat awam.
“‘Perintah Penyuraian Seksyen 35 telah dilaksanakan sepanjang hari dan tiada isu berkaitan selanjutnya dilaporkan,” kata Polis Metropolitan London. – AGENSI