PETALING JAYA – Semakin terbuka berkongsi, deejay kelab malam, DJ Kidd mengejutkan ramai apabila menggelar aktres Emma Maembong sebagai ‘isteri’ dalam sebuah video Instagram Story hari ini.
Tidak hanya panggilan isteri, video yang dikongsi DJ Kidd itu memaparkan mereka sedang bercuti dipercayai di luar negara.
Kedua-duanya sedang menghabiskan masa bersama menaiki motosikal dan menikmati ais krim di sebuah kafe.
Dalam video tersebut, dia memanggil pemilik nama lengkap Fatimah Rohani Ismail, 32, dengan panggilan ‘wife’ (isteri) berserta emoji hati rona merah.
Malah, DJ Kidd turut mencipta ‘highlight’ dalam Instagram yang memuatkan semua momen bersama pelakon drama Takdir Itu Milik Aku itu.
Bagaimanapun, Emma dilihat tidak memuat naik apa-apa hantaran setakat ini.
Sebelum ini, timbul desas-desus mendakwa Emma sudah berkahwin dengan seorang deejay selepas bercerai dengan bekas suaminya, Muhammad Shazli Azhar.
Malah, pasangan itu didakwa bercuti bersama di luar negara berdasarkan beberapa gambar yang tular dalam media sosial.
Emma dan Shazli sebelum ini merahsiakan tarikh sebenar perceraian mereka, namun mengumumkan perpisahan pada 7 Oktober tahun lalu.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki. – KOSMO! ONLINE