fbpx

Ayah stabil cuma masih perlu dipantau – Dafi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DAFI memaklumkan bapanya yang juga Ahli Parlimen Bera, Pahang berada dalam keadaan stabil.

PETALING JAYA – “Buat masa ini ayah saya perlukan rehat yang cukup.”

Demikian kongsi penyanyi Dafi Ismail yang memaklumkan perkembangan terkini bapanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semakin stabil selepas menerima rawatan di hospital akibat rebah awal pagi tadi.

Begitupun, Dafi atau nama sebenarnya, Gadaffi Ismail Sabri berkata, bapanya masih dalam pemantauan doktor berikutan tekanan darah masih tidak menentu.

“Alhamdulillah, keadaan kesihatannya nampak ada perubahan tetapi masih di bawah pemantauan pakar.

“Terima kasih kepada yang bertanya khabar dan mendoakan kesejahteraan kesihatannya,” kata Dafi menerusi balasan mesej kepada Kosmo! Online.

Sementara itu, kakak Dafi iaitu Nina turut berkongsi perkembangan kesihatan bapa mereka yang juga Ahli Parlimen Bera, Pahang itu menerusi media sosial.

Menurut ahli perniagaan itu, bapanya berada dalam keadaan baik, sudah sedar dan semakin menunjukkan perkembangan positif.

Pada hantaran sama, Nina turut menitipkan pesanan agar orang ramai tidak memandang remeh soal kesihatan.

“Kesihatan adalah kekayaan, jika awak semua merasakan ada sesuatu yang tak kena, jangan tunggu dan pergilah ke hospital segera.

“Sentiasa percaya kepada naluri anda,” ujarnya.

Terdahulu, tular dalam laman sosial foto bekas Perdana Menteri kesembilan itu dirawat di sebuah pusat perubatan selepas didakwa tidak sedarkan diri sekitar pukul 2.30 pagi hari ini.

Perkara tersebut disahkan Setiausaha Akhbar beliau, Azran Fitri Abdul Rahim yang memaklumkan Ismail Sabri berada dalam keadaan stabil.

Menerusi hantaran di Facebook, Azran turut memaklumkan buat sementara waktu hanya keluarga terdekat sahaja dibenarkan menziarah.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI