PARIT – Pemilik rumah di Pangsapuri Seri Iskandar dekat sini merayu pemaju dan kontraktor yang terbabit dalam pembinaan rumah berkenaan bertanggungjawab dan mendengar luahan mereka berikutan banyak aspek yang dibuat tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri berkenaan, Muhammad Nazrin Sulaiman, 29, berkata, selain itu banyak kepincangan turut didakwa berlaku termasuk badan pengurusan sewaan yang dilantik untuk menyewakan kediaman pemilik namun gagal memberikan sewa yang sepatutnya.
“Saya baharu saja mengambil alih pengurusan pangsapuri sejak 15 Januari lalu, namun mendapati banyak kepincangan yang berlaku.
“Rumah bermasalah, audit keluar masuk duit selenggara tidak lengkap dan hanya diperoleh sehingga 31 Ogos sahaja, fasiliti yang tidak boleh digunakan, termasuk kolam serta beberapa perkara yang tidak mengikut spesifikasi pelan asal,” katanya pada sidang akhbar di pangsapuri itu hari ini.
Katanya, pemilik dijanjikan kelengkapan asas rumah seperti lampu, pendawaian dan kipas yang berkualiti, namun yang diterima pemilik adalah sebaliknya.
Nazrin berkata, berikutan pemaju dan kontraktor dilantik suka berdolak-dalik dan enggan bersemuka, pihaknya telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan tiga laporan polis.
“Kualiti binaan rumah juga tidak setimpal dengan harga jualan iaitu melebihi RM200,000 seunit.
“Lebih pelik, pemaju turut membuat laporan polis terhadap saya yang didakwa mengganggu urusan dan kerja mereka sedangkan saya hanya meminta penjelasan dan hak yang sepatutnya,” katanya.
Katanya, pendedahan itu dibuat bagi memastikan bakal pemilik dan pembeli rumah dapat menjadikan apa yang berlaku kepada pemilik pangsapuri Seri Iskandar sebagai pengajaran dan tidak dianiaya. – K! ONLINE.