fbpx

Polis berkas 15 ahli sindiket pusat panggilan palsu pekerjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara barangan yang dirampas pihak polis dalam serbuan di sebuah rumah di Pulau Pangkor, kelmarin. - Foto IHSAN PDRM

LUMUT – Seramai 15 anggota sindiket  kegiatan pusat panggilan palsu pekerjaan atau ‘calling centre’ diberkas polis dalam satu serbuan sebuah inap desa (homestay) di Pulau Pangkor di sini kira-kira pukul 9.45 malam kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, serbuan tersebut dilakukan oleh Pasukan Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kontinjen Perak bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Daerah Manjung dan Balai Polis Pulau Pangkor.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati, seramai 15 orang ahli sindiket menggunakan rumah tersebut bagi menjalankan kegiatan berkenaan.

“Ia menawarkan pekerjaan secara dalam talian yang menyasarkan mangsa dari negara China. Semua suspek terdiri daripada 13 orang warganegara China iaitu 12 lelaki dan seorang perempuan berumur lingkungan 26 hingga 41 tahun.

“Sementara dua orang warga tempatan yang merupakan pasangan suami isteri berumur 61 dan 63 tahun telah ditahan dalam serbuan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Noor Hisam berkata, semua ahli sindiket itu berperanan sebagai pencari pelanggan dan menawarkan pekerjaan dalam talian.

Katanya, sindiket itu menawarkan pekerjaan dalam talian di mana mangsa dikehendaki melengkapkan tugasan (task) pembelian barangan dalam talian bagi meningkatkan penilaian (rating) barangan berkenaan.

“Mangsa dijanjikan keuntungan bagi setiap tugasan yang disempurnakan. Apabila mangsa membuat pembayaran bagi
pembelian barangan tersebut, keuntungan yang djanjikan tidak diperolehi,” katanya.

Beliau berkata, pasangan suami isteri warga tempatan berperanan sebagai penyewa rumah sewa dan pembekal makanan kepada ahli sindiket berkenaan.

“Turut dirampas semasa serbuan ini adalah sebanyak 12 komputer riba, enam buah modem WiFi dan 88 buah telefon bimbit pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM80,000.

“Semua tangkapan kini ditahan reman selama empat hari mulai 22 Februari 2025 hingga 25 Februari 2025. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120 (b) Kanun Keseksaan,” katanya.

Noor Hisam berkata, jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun.

“Pihak polis akan membuat semakan dengan Jabatan Imigresen berkenaan status pasport warganegara China yang ditangkap. Jika terdapat sebarang pelanggaran atau penyalahgunaan pas lawatan, tindakan juga akan diambil di bawah Akta Imigresen 1959. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI