KAJANG – Seorang penghantar makanan membuat laporan polis mendakwa dia dikasari oleh seorang individu ketika melalui Jalan Universiti Kebangsaan Malayia (UKM) Bangi dari Bandar Seri Putra ke Teras Jernang, di sini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pengadu seorang lelaki warga tempatan berusia 18 tahun semasa kejadian menunggang motosikal dan telah ditahan oleh sebuah kenderaan dipercayai jenis Perodua Bezza yang dinaiki empat lelaki.
“Pada 22 Februari lalu, pukul 12.37 tengah malam, terdapat satu laporan polis yang dibuat oleh pengadu.
“Pengadu yang merasakan dirinya akan disamun terus memecut motosikal yang dinaiki dan ketika itu salah seorang suspek sempat memukul kepala pengadu dengan tangan namun pengadu berjaya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Naazron, pengadu tiada mengalami sebarang kerugian harta benda dalam kejadian tersebut.
“Namun, dia mengalami sedikit kecederaan lebam di dahi akibat dipukul semasa kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
“Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut boleh berhubung dengan mana-mana balai yang berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Inspektor Afiq Rifdi Mohd. Azmi di talian 011-29667474,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE