PETALING JAYA – Malaysia mempunyai potensi besar, namun sukar direalisasikan jika rakyat dan pemimpinnya terperangkap dalam pertelingkahan remeh atau diperalat untuk mempertahan orang-orang korup yang mengaut ratusan juta tatkala berkuasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jika mahu bergerak ke hadapan, kita harus mengangkat wacana segar yang mencetuskan idea bernas untuk membangunkan negara.
“Ramadan ini adalah peluang untuk kita bermuhasabah dan mendidik diri dengan disiplin, ihsan dan kasih sayang. Semoga kita terus melangkah ke hadapan dengan tekad yang lebih besar, insya-Allah,” tulisnya dalam satu hantaran terbaru di Facebook, sebentar tadi.
Terdahulu, Anwar telah merasmikan Alamanda Berwajah Baharu di Putrajaya, hari ini.
Dalam ucaptamanya, Anwar berkongsi pemerhatian tatkala mengadakan lawatan kerja ke beberapa negara dan menyaksikan kesungguhan dalam membicarakan soal teknologi baharu, transformasi digital, kecerdasan buatan (AI), peralihan tenaga dan seumpamanya.
Itu juga katanya, adalah pendekatan yang diperkenalkan Kerajaan Madani hingga menarik perhatian deretan pemimpin dunia untuk bekerjasama dengan Malaysia dan mengembangkan pelaburan serta perdagangan.
Jelas Anwar, kerjasama itu telah membawa masuk pelaburan besar ke Malaysia daripada syarikat gergasi dunia seperti Google, Microsoft, Amazon Web Services dan Oracle sekali gus membuktikan keyakinan pelabur terhadap Malaysia, menyangkal tohmahan yang mempertikaikan keberkesanan usaha Kerajaan Madani membangunkan ekonomi negara.
“Pagi ini saya ke Alamanda untuk menyokong usaha menyuntik nafas baharu ke pusat beli-belah ini, mengangkatnya semula sebagai antara mercu tanda Putrajaya, seperti ketika ia mula beroperasi lebih 20 tahun lalu.
“Usaha seperti ini bukan sekadar merancakkan sosioekonomi dan menambah keceriaan, tetapi juga menyediakan kemudahan riadah untuk kesejahteraan keluarga dan anak-anak, selaras dengan teras Madani,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.