fbpx

K2

Eksplorasi kain batik jadi kraf tangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISKANDAR menunjukkan beberapa kain batik yang dijadikan produk kraf.

NILAI estetika corak batik sememangnya dekat di hati masyarakat kita dan telah menjadi pilihan sejak berkurun lamanya.

Kaum ibu cukup sinonim dengan pemakaian kain batik di rumah sehinggalah ia dikomersialkan ke peringkat antarabangsa.

Bagi Mohd. Yusuf Zaki Yaacob, 32, yang lebih mesra disapa dengan nama penanya Iskandar telah menjadikan perusahaan produk kraf batik sebagai mata pencarian utama.

Bermula hanya kira-kira empat bulan lalu, produk kraf batik milik Iskandar dengan jenama Asiansparks telah mendapat sambutan hangat di pasaran online.

Antara produk kraf batik yang diusahakan usahawan kreatif ini ialah sarung bantal, alas meja, lanyard, alas pinggan, coaster (alas gelas), beg pinggang, set beg penyimpanan sudu dan garpu, buku nota serta banyak lagi.

Menurut anak kedua daripada lima beradik itu, penglibatannya dalam perusahaan produk kraf batik bermula secara kebetulan.

Sejak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac tahun lalu, Iskandar telah diberhentikan kerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah kolej swasta di ibu negara.

“Pada bulan Januari tahun lalu, saya baru mula bekerja di kolej swasta tersebut. Malangnya setelah kerajaan menetapkan PKP sejak Mac, banyak syarikat yang terkesan dan tidak mampu lagi untuk membayar gaji pekerja. Jadi saya terpaksa diberhentikan.

“Sehinggalah pada bulan Julai tahun lalu, saya nekad untuk menceburkan diri secara sepenuh masa dalam bidang perusahaan produk kraf batik ini,” katanya ketika ditemui di Segamat, Johor baru-baru ini.

Pada mulanya, Iskandar serta rakannya, Jesinta Rani, 32, merancang untuk bekerjasama menghasilkan gabungan dua elemen dan motif tekstil berbeza dalam satu produk iaitu sari dan batik.

Namun, kerana permintaan terhadap produk kraf batik lebih tinggi, mereka membuat keputusan untuk hanya memberi fokus kepada kraf batik.

Ia diusahakan oleh Iskandar secara sendirian di rumahnya di Kampung Sulir, Pekan Jabi, Segamat kerana Jesinta mempunyai komitmen pekerjaan lain.

Menyahut seruan kerajaan untuk lebih banyak bekerja dari rumah, Iskandar telah memaksimumkan penggunaan media sosial untuk memasarkan produk kraf batik Asiansparks melalui laman sosial Facebook dan Instagram.

 

SALAH satu produk menarik dihasilkan Iskandar ialah set beg penyimpanan sudu dan garpu.

 

Tidak ketinggalan juga, produk kraf batik Asiansparks ini turut boleh didapati di laman jualan langsung dalam talian iaitu Shopee, Lazada dan Carousell.

Anggaran harga bagi produk kraf batik Asiansparks ini bermula dari serendah RM5.50 sehingga RM45.50 bergantung kepada jenis produk, saiz serta reka bentuk.

“Hasil jualan daripada pelbagai jenis produk kraf batik Asiansparks ini mampu mencecah kira-kira RM2,000 hingga RM3,000 sebulan mengikut permintaan,” ujarnya.

Menurut Iskandar lagi, baru-baru ini Asiansparks menerima tempahan 40 unit coaster gelas untuk dijadikan cenderamata bagi satu acara melibatkan agensi kerajaan.

Pemuda itu terus melebarkan pencarian ilmu dengan menyertai Kursus Pembangunan Kemahiran Komuniti pada 25 hingga 28 Oktober di daerah Tangkak bagi mendalami kemahiran tekstil dan pemasaran produk kraf tangan.

Ujar Iskandar, dia mendapatkan bekalan kain batik daripada pengusaha kain batik di sekitar Pantai Timur iaitu Terengganu dan Kelantan. Selain itu, dia juga mendapat bekalan kain batik diperolehinya dari Sarawak.

Kehalusan seni kraf batik olahan Asiansparks dapat dilihat daripada proses awal pembuatan hinggalah ia dipakai. Pemakaian beg pinggang atau gelang tangan menyerlahkan keanggunan dan kesegakan si pemakai.

Berbekalkan minat yang mendalam dan bakat yang meluas dalam bidang kraf, Iskandar sebenarnya telah mula berjinak dalam seni ini sejak zaman pengajian tinggi lagi dengan membuat gubahan bunga sama ada untuk hadiah, hantaran, dekorasi perkahwinan dan sebagainya.

Dia juga pernah memiliki sebuah butik perkahwinan yang diusahakan kira-kira dua tahun lalu di Semenyih.

Walaupun tidak menang tangan menerima tempahan pelanggan batik Asiansparks, sikap prihatin Iskandar terhadap kesusahan anak muda lain di sekitar Segamat tidak dipinggirkan. Ramai yang terjejas mata pencarian sepanjang tempoh PKP ini.

 

ALAS gelas yang diperbuat daripada batik ini tampak eksklusif.

 

Justeru, Iskandar mengambil peluang yang ada dengan mengupah segelintir anak muda ini sebagai model produk kraf batik Asiansparks.

“Selain membantu anak muda ini dengan mengupah mereka menjadi model, saya juga berkongsi sedikit sebanyak pengalaman saya sepanjang PKP ini supaya anak muda tidak mudah berputus asa dan terus bersemangat mencari mata pencarian. Di mana ada usaha, di situ ada rezeki,” ujarnya.

Usaha Iskandar dalam mengangkat industri batik dan barangan kraf tangan tempatan wajar disokong dan diberi perhatian oleh pihak berwajib memandangkan daerah ini masih kekurangan usahawan muda yang berbakat dalam penghasilan kraf tangan terutama kraf batik.

“Harapan saya untuk melebarkan sayap industri kraf batik Asiansparks ini dengan mewujudkan hab kraf batik di daerah Segamat. Selain menjana pendapatan sendiri, hab ini turut dapat membantu anak muda di daerah ini dengan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada mereka.

“Walaupun dunia masih berdepan cabaran pandemik Covid-19, tetapi dalam dunia teknologi tanpa sempadan dengan dibantu pihak berwajib, tidak mustahil cita-cita ini akan tercapai satu hari nanti,” ujar Iskandar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI