KIEL – Bayer Leverkusen mencatat rekod baharu apabila kekal tanpa kalah dalam 28 perlawanan Bundesliga di tempat lawan selepas menewaskan Holstein Kiel 2-0 di Stadium Holstein awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, skuad Leverkusen selaku juara bertahan musim lalu tidak mempunyai masalah untuk meraih kemenangan hasil penyudah Patrik Schick dan Amine Adli untuk kekal di kedudukan kedua ketika ini.
Pengendali Leverkusen, Alonso mengakui rekod dan statistik tersebut tidak memberi sebarang kebanggan buat pasukannya kerana apa yang penting sekarang adalah bermain secara konsisten hingga penghujung musim ini.
“Saya rasa rekod ini hanya menunjukkan mentaliti barisan pemain tetapi saya rasa tiada apa yang perlu dibanggakan kerana kita tidak dapat medal untuk statitstik itu.
“Mengenai perlawanan, saya rasa kita mendominasi perlawanan dan ini bukanlah perkara mudah selepas kita seri dua perlawanan berturut-turut sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Alonso turut gembira apabila Adli dapat kembali membantu pasukan selepas pemain antarabangsa Maghribi itu tersisih hampir empat bulan ekoran kecederaan yang dialami pada Oktober lepas.
“Saya teruja dapat melihat Adli kembali ke atas padang kerana dia memberi aura tambahan buat pasukan khususnya di jentera serangan. Saya harap dia dapat cergas hingga penghujung musim nanti,” katanya. – AGENSI