PENYERANG prolifik hoki negara, Faizal Saari mengumumkan persaraannya daripada skuad kebangsaan selepas 15 tahun menyarung jersi Malaysia, sekali gus mengakhiri karier gemilangnya di pentas antarabangsa.
Pemain berusia 34 tahun itu membuat pengumuman penuh emosi selepas membantu Pasukan Hoki Terengganu (THT) merangkul kejuaraan treble Liga Hoki Malaysia (MHL), Piala TNB dan Piala Sumbangsih, selain mengekalkan rekod bersih tanpa kalah sepanjang musim.
“Saya rasa final kali ini adalah final terbaik dan sangat-sangat sengit. Mungkin rezeki THT dan kami berjaya dapat gelaran treble untuk tahun ini,” katanya selepas perlawanan akhir,” kata Faizal.
Bukan sahaja membantu THT mencipta sejarah, Faizal turut muncul penjaring terbanyak liga buat musim kedua berturut-turut iaitu satu pencapaian yang dianggap sebagai bonus buatnya.
“Bagi saya, penjaring terbanyak itu nombor dua, bonus sahaja. Sasaran utama kami adalah untuk memenangi ketiga-tiga piala dan Alhamdulillah kami berjaya capai,” ujarnya.
Mengulas keputusan untuk bersara daripada skuad kebangsaan, Faizal mengakui ia bukan keputusan mudah selepas 15 tahun penuh suka duka, selain mengakui bakal menumpukan perhatian sepenuhnya dalam arena kejurulatihan.
“Ini hari yang sedih untuk saya. Sepanjang 15 tahun saya berjuang untuk negara, hari ini secara rasminya saya bersara. Saya dah serahkan surat dan selepas ini takkan ada kelibat saya dalam skuad kebangsaan.
“Saya rasa 15 tahun itu sudah cukup. Ada turun naik, kenangan manis dan pahit bersama skuad. Sekarang tiba masanya untuk saya fokus kepada perancangan lain – membangunkan akademi saya di Klang dan melatih budak-budak.
“Saya masih akan bermain dalam liga tempatan macam Liga Hoki Malaysia dan Kejohanan Piala Razak, tapi untuk peringkat antarabangsa, saya sudah berhenti,” jelasnya.