NADIN Amizah bukan satu nama asing dalam persada muzik Indonesia. Dia berjaya membawa muzik indie dan alternatif ke satu tahap membanggakan.
Bakal kembali lagi ke Kuala Lumpur, kemunculan Nadin sekali gus menebus kekecewaan peminatnya pada tahun lalu selepas sebuah konsert yang sepatutnya menampilkan Nadin sebagai salah seorang penyanyi dibatalkan secara tiba-tiba.
Tolak ke tepi cerita tersebut, Nadin bakal membawa lagi mood ‘healingnya’ kepada peminat di Malaysia menerusi Malam Mendengar Nadin Amizah dari Jakarta ke Kuala Lumpur pada 16 Mei depan di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert tersebut diadakan selepas menerima permintaan tinggi daripada para pencinta karyanya di sini.
Menurut Nadin, ‘Malam Mendengar’ bukan sekadar persembahan biasa, tetapi sebuah pengalaman dicipta untuk mendekatkannya dengan peminat melalui muzik dan lirik yang sarat dengan makna.
“Saya berasa sangat gembira dan terharu dengan penerimaan peminat di Malaysia.
“Namun, pada masa sama saya juga gementar untuk memenuhi ekspektasi mereka, semoga semuanya berjalan lancar,” kata Nadin yang mengakui teruja dalam mempersiapkan diri untuk acara berkenaan.
Pernah tampil di pentas sama pada 2023, pelantun lagu Rayuan Perempuan Gila itu memberitahu, konsertnya kali ini akan menampilkan susunan muzik yang lebih dramatik.
Buat pertama kali, dia akan mempersembahkan gubahan muzik orkestra, sekali gus memberikan nuansa baharu kepada lagu-lagu yang sudah begitu dekat di hati peminat.
“Harap peminat di Malaysia dapat meluangkan waktu menonton persembahan Malam Mendengar nanti.
“Semoga semua yang hadir menjadi saksi progres kerjaya seni sebagai pemuzik sejak pertama kali berkunjung ke Malaysia,” katanya lagi.
Sementara itu, wakil penganjur iaitu Renjana Idea, Siti Azlina berkata, penganjuran konsert bukan sekadar sebuah persembahan, sebaliknya akan menghidangkan pengalaman berbeza buat pencinta muzik penyanyi kelahiran Bandung, Indonesia itu.
“Kami akan pastikan penonton membawa pulang sebuah memori yang sarat dengan emosi selain menghubungkan Nadin dengan peminatnya dalam suasana lebih intim dan eksklusif.
“Kami sangat teruja dapat membawa Malam Mendengar ke Kuala Lumpur selepas melakar kejayaan di Jakarta.
“Ini bukan sekadar persembahan biasa tetapi satu perjalanan muzik yang mendalam dan penuh makna,” jelasnya.
Baginya, konsert tersebut juga merupakan ruang untuk para peminat menyaksikan bagaimana Nadin mekar menjadi antara penyanyi hebat di Indonesia ketika ini.
“Ini juga menjadi peluang untuk mereka melihat perkembangan dan kematangan Nadin sebagai seorang pemuzik hebat,” ujarnya.
Persembahan Malam Mendengar Nadin Amizah dari Jakarta ke Kuala Lumpur bukan sahaja membawa perjalanan nostalgia, tetapi memberi ruang kepada peminat menikmati keunikan karya Nadin dalam susunan yang lebih matang dan penuh emosi.
Tiket Malam Mendengar Nadin Amizah dari Jakarta ke Kuala Lumpur sudah mulai dijual sejak 12 Februari lalu menerusi www.golive-asia.com.
Tiket-tiket yang dijual dibahagikan dalam kategori Tawa bernilai RM658, Sorak Sorai (RM258), Sorai (RM238), Kekal (RM248) dan Bunga Tidur (RM178). Tambahan harga turut dikenakan untuk acara Meet & Greet. – KOSMO! ONLINE