fbpx

Piala Cabaran: Kemarau sedekad Selangor bernoktah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELANGOR mudah membenam PDRM dengan 4-0 pada aksi final kedua selepas diberikan kemenangan 3-0 pada aksi pertama.

PENGENDALI Selangor FC, Kinoshi Katsuhito mengakui cukup puas apabila dapat membantu pasukan menamatkan kemarau panjang dengan menjuarai trofi Piala Cabaran dengan menewaskan Polis DiRaja Malaysia (PDRM FC) 7-0 secara agregat di pentas final kelmarin.

Menurut Katsuhito, kemenangan tersebut boleh dianggap sebagai penanda aras proses ‘kelahiran semula’ skuad Gergasi Merah dalam usaha memberikan tentangan yang lebih kompetitif pada saingan akan datang.

“Saya sangat berpuas hati dengan kemenangan yang diraih pasukan kerana ini adalah hasil kerja keras barisan pemain dan pegawai sepanjang musim ini.

“Secara peribadi, saya harap ini adalah permulaan erah baharu untuk kelab dan kita berjaya mencipta sejarah selain belajar banyak perkara penting sepanjang kejohanan Piala Cabaran musim ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Katsuhito turut berharap penyokong terus berdiri teguh dibelakang pasukan meskipun hanya mampu menarik kehadiran kurang 3,000 peminat di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada aksi final kedua kelmarin.

“Ini adalah pilihan penyokong dan saya tidak mahu mengulas lanjut. Namun, mereka harus sedar bukan mudah untuk bergelar juara pada mana-mana kejohanan dan saya harap mereka terus berikan sokongan pada baki saingan musim ini,” katanya.

Pada perlawanan itu, skuad Gergasi Merah seperti sudah meletakkan sebelah tangan ke atas trofi selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menghadiahkan kemenangan 3-0 pada aksi final pertama minggu lepas susulan kesilapan The Cops yang menurunkan pemain yang digantung perlawanan.

Justeru, pasukan tuan rumah mempamerkan belang tersendiri dengan meraih kemenangan 4-0 hasil dua gol jaringan Yohandry Orozco dan satu lagi gol sumbangan Ali Olwan dan Ronnie Fernandez.

Kejayaan itu menyaksikan Selangor FC menghapus badi selepas kali terakhir menjulang trofi domestik ketika bergelar juara Piala Malaysia edisi 2015.

Sementara itu, Fernandez mengakui cukup lega apabila dapat membantu pasukan menamatkan kemarau 10 tahun untuk menjulang trofi di peringkat domestik.

“Barisan pemain cukup teruja apabila dapat bergelar juara kerana bukan mudah untuk menjulang trofi pada mana-mana kejohanan terutama apabila pemain tiada pengalaman seperti itu.

“Ini adalah trofi yang penting dan sudah tentu kami bangga dapat menamatkan penantian Selangor,” kata pemain kelahiran Brazil itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI