PETALING JAYA – Terdapat akaun X dengan lebih 52,000 pengikut yang menyamar sebagai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan menggunakan gambar keluarga Diraja Johor tanpa kebenaran.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office) dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Royal Press Office, akaun-akaun palsu tersebut sering digunakan oleh ‘scammer’ untuk tujuan penipuan terutamanya di Facebook dan platform media sosial yang lain.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dan tidak mudah terpengaruh,” kata kenyataan tersebut yang dimuat naik di Facebok, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Dalam masa sama, Royal Press Office menegaskan bahawa penyamaran dan penyalahgunaan identiti adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terlibat mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE